Tuesday 24 April 2012


SAYYID MUHAMMAD BIN ALI AS SANUSI, MURID DAN KHALIFAH AL IMAM SAYYID AHMAD BIN IDRIS AL HASANI AL MAGHRIBI RA.




Sheikh Muhamad Ali As-Sanusi
Syeikh Muhammad bin Ali as-Sanusi telah dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiulawal 1202H/22 Disember 1787M di sebuah tempat yang bernama al-Wasitah, di Mustaghanim, Algeria. 
Beliau mendapat didikan agama awal dari Sheikh Abu Ras RA. (wafat 1823 masihi) dan dari Sheikh Belganduz RA. (1829 Masihi). Kemudian beliau telah pergi ke Fas untuk memperdalamkan ilmu mengenai Tafsir Al-Quran dan ‘Ilmu Hadits, ‘Ilmu Hukum Fiqah serta lanjutan ilmu-ilmu pengajaran Islam dari tahun 1821 hingga 1828 Masihi. Beliau pergi mengerjakan Haji ke Mekah melalui jalan darat melalui Tunisia Selatan dan Mesir. Di Mekah, beliau telah mendirikan Zawiyah tempat melatih murid-murid Tariqatnya di sebuah gunung yang terkenal bernama Jabal Abu Qabais. Beliau juga telah mendirikan Zawiyahnya di Cyreinaica, Baidha Temessa dan Jaghdub. Beliau adalah seorang ulama yang ikhlas dan suka merendahkan dirinya. 

Syeikh Muhammad Ali as-Sanusi adalah pengasas kepada Thariqat Sanusiyah. Markaz Tariqat Sanusiyah pada mulanya berada di Jaghdub antara tahun 1855 hingga 1895, kemudian berpindah ke Kufra pada tahun 1895 hingga 1899 dan kemudiannya telah berpindah ke Guro pada tahun 1899. Pada tahun 1902 markaznya telah kembali berpindah di Kufra manakala zawiyah-zawiyahnya telah meningkat dari dua puluh buah dalam tahun 1859 telah menjadi seratus buah dalam tahun 1884 Masihi. Tariqatnya berkembang luas dari Maroko hingga ke Somalia dan daerah pedalaman Libya. Tariqat ini bersifat keras terutamanya dalam melakukan Jihad atas Jalan Allah dan mentaati para pemimpinnya. Antara wirid-wirid yang dilakukan oleh penganut Tariqat ini ialah zikir “Ya Latif” sebanyak seribu kali secara Sirr. Mereka berpegang dengan Hukum Syara’ yang berlandaskan Al-Quran dan Al-Hadits menuruti Mazhab Maliki. 




Tariqat Sanusiyah ini juga dikatakan mempunyai pengaruh Tariqat Tijaniyah dan Tayyibiyah yang merupakan cabang dari Tariqat Ahmadiyah, Rashidiyah dan Idrisiyah yang dinisbatkan dengan gurunya Hadhrat Ahmad Bin Idris Al-Fasi Rahmatullah ‘alaih yang meninggal dunia pada tahun 1837 Masihi di Sabia. 

Di katakan juga bahawa Tariqat Sanusiyah ini merupakan cabang dari Tariqat Qadiriyah yang telah dikembangkan oleh Hadhrat Ibnu Dabbagh Rahmatullah ‘alaih di sekitar tahun 1700 Masihi di Marokko. Tariqat Sanusiyah adalah sangat sederhana dalam amalan wiridnya dan tidak menyimpang daripada ajaran Islam yang asli. 
Antara bintang dari tarekat sanusiyah ini adalah SHeikh Umar Mukhtar Singa Padang Pasir yang terkenal itu.


Sheikh Omar Mukhtar

Beliau mempunyai dua orang putera yang bernama Sidi Muhammad Al-Mahdi yang lahir pada tahun 1844 dan meninggal dunia pada tahun 1961 Masihi di Guro yang menjadi Khalifah kepada Hadhrat Syeikh Sayyid Muhammad bin ‘Ali As-Sanusi Rahmatullah ‘alaih. Puteranya yang kedua bernama Sidi Muhammad Syarif yang lahir pada tahun 1846 dan meninggal dunia pada tahun 1896 Masihi. Hadhrat Sidi Muhammad Al-Mahdi meninggalkan dua orang putera yang bernama Sidi Muhammad Idris yang telah diangkat menjadi raja kecil di bawah pengawasan Itali dari tahun 1916 hingga 1923 Masihi, dan Sidi Muhammad Ridha yang telah dikurniakan dengan enam orang putera yang bernama Sidi Ahmad Syarif yang telah diangkat sebagai Khalifah Tariqat Sanusiyah antara tahun 1901 hingga 1916 Masihi, Sidi Muhammad Al-‘Abid, Sidi ‘Ali Al-Khattab, Sidi Safiuddin, Sidi Al-Halal dan Sidi Ar-Ridha. 
.
Surat yang dikirim oleh al Imam Sayyid Ahmad bin Idris al Hasani al Maghribi RA kepada Sayyid Muhammad bin 'Ali as Sanusi al Hasani, yang menyatakan kedudukan dan maqam Sayyid Muhammad as Sanusi sebagai Wali Allah disisi Allah SWT
.
بسم الله الرحمن الرحيم
من أحمد بن إدريس إلى جملة إخواننا المكرمين وأحبابنا المحترمين، السلام عليكم ورحمة الله وبركاته،


والذي أعرّفكم به أيها الأخوان الحذر الحذر ثم الحذر من محاربة الله ورسوله وهي أذية أوليائه، وقد قال الله عز وجل، من آذى لي ولياً فقد آذنته بالحرب، وفي الحديث الآخر، من آذى لي ولياً فقد بارزني بالمحاربة، وهذا الرجل أخينا السيد محمد إبن السنوسي من أكابر أولياء الله ولو يعلم الناس منزلته وعلو مرتبته لتكاسروا الأعناق على بابه والناس جاهلون .... ويؤذونه بالكلام فإياكم إياكم ثم إياكم من أذيته والدخول في عرضه والتعرض عليه، فإن من آذاه يؤخذ من حيث لا يشعر ويُخاف عليه من سوء الخاتمة والعياذ بالله، لهذا أحذركموالسلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Sebelum beliau meninggal dunia, beliau pernah berkata, “Hamba-hamba Allah ini telah memberikan kami satu tugas yang amat berat sekali sehingga andaikata ia diletakkan di atas gunung, ia tidak akan sanggup untuk memikulnya.” Yang dimaksudkan oleh beliau ialah menjaga amanah Allah.

Makam Sheikh Muhamad Ali As-Sanusi
Syeikh Muhammad Ali as-Sanusi telah meninggal dunia pada bulan Safar tahun 1276H/1859M di al-Jaghbub, Libya.

Tuesday 31 January 2012

Betulkan Tujuan dan niatmu. . . .

"Sesungguhnya engkau jika menuntut ilmu dengan tujuan untukbertanding kehebatan, bermegah-megah, mendahului rakan-rakan (dalam ilmu), mendapatkan perhatian atau pandangan manusia kepada engkau, atau mengumpul harta dunia, maka sesungguhnya engkau sedang menuju kepada meruntuhkan agama engkau, membinasakan diri sendiri, dan menjual akhiratmu dengan dunia, maka tentu sekali ia suatu urusniaga yang merugikan dan perniagaan yang binasa. Malah guru engkau sendiri yang membantu dalam kemaksiatan engkau serta bersekutu dengan engkau dalam kerugian engkau. Dia seperti seorang penjual senjata kepada penyamun jalanan. Bersesuaian dengan sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Sesiapa yang membantu kemaksiatan walau dengan separuh kalimah, maka ia termasuk bersekutu dalam kemaksiatan itu."

Seterusnya Imam Al-Ghazali menyebut pula ganjaran bagi mereka yang mempunyai niat yang betul dalam mencari ilmu dengan kata-katanya:

"Dan jika niat dan tujuanmu antaramu dengan Allah dalam mencari ilmu, adalah untuk mencapai hidayah, bukan semata-mata bermegah dengan riwayat, maka bergembiralah, kerana sesungguhnya para malaikat melebarkan sayapnya ketika kamu berjalan, dan hidupan di laut mendoakan keampunan bagimu dalam setiap langkahmu."

apa yg dapat konklusi dari petikan muqadimmah bidayatul hidayah adalah, cari ilmu jangan sesekali kerana inginkn kemegahan, kemewahan mahupun pangkat kerana smua itu hanyalah membawa kecelakaan kepada kita semua.


"amalan kita tidak mampu untuk menampung kita ke syurga dengan kadar nikmat Allah kurniakan kepada KITA semua, tetapi ia tidak bermakna kita x perlu beramal utk msuk ke syurga. dengan amalanlah ALLAH memberi RAHMAT kepada KITA"


"SENTIASALAH MEMINTA RAHMAT DARI ALLAH KERANA RAHMAT ALLAH MEMBAWA KITA KE SYURGA"

Wednesday 25 January 2012

Apakah manusia seperti ini masih WUJUD???

  • Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata, “Biarkan dia menyelesaikan hajatnya…” Setelah lelaki tersebut selesai, Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjiD.

  • Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya, lutut Rasululah SAW telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, “Jangan, mereka tidak tahu saya ini rasul-Nya.” Malaikat menjawab: “Tuan benar.” Selepas itu baginda terus berdoa untuk penduduk Thaif: “Ya ALLAH berilah petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui.




Wednesday 18 January 2012

Berhati-hatilah!!!!

Fahaman Yang Lebih Sejahtera


Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi s.a.w. adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi s.a.w. bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi s.a.w. diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.


Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi s.a.w. kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi s.a.w. adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas r.a., seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi s.a.w. telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi s.a.w. pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi s.a.w. melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.


Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah S.W.T. tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad s.a.w. sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi s.a.w. sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.


Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi s.a.w. dan bukannya Abdullah, bapa Baginda s.a.w.. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim a.s. (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi s.a.w. benar-benar kafir, Nabi s.a.w. tidak akan diizinkan Allah S.W.T. untuk menziarahi kuburnya.


Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi s.a.w. berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi s.a.w. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah S.W.T. di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi s.a.w. musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya (Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi s.a.w. (kufur)” (Jilid 11, ms.207).


Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi s.a.w. boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof. Dr. Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr. Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.


Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi s.a.w. yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah S.W.T. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah S.W.T. sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.


Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah s.a.w. Semoga Allah S.W.T. menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad s.a.w.           


 Oleh:
-Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki
(Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat, Yayasan Sofa Negeri Sembilan)
-dipetik akhienaim.blogspot

Sunday 15 January 2012