Wednesday, 18 January 2012

Berhati-hatilah!!!!

Fahaman Yang Lebih Sejahtera


Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi s.a.w. adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi s.a.w. bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi s.a.w. diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.


Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi s.a.w. kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi s.a.w. adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas r.a., seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi s.a.w. telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi s.a.w. pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi s.a.w. melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.


Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah S.W.T. tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad s.a.w. sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi s.a.w. sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.


Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi s.a.w. dan bukannya Abdullah, bapa Baginda s.a.w.. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim a.s. (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi s.a.w. benar-benar kafir, Nabi s.a.w. tidak akan diizinkan Allah S.W.T. untuk menziarahi kuburnya.


Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi s.a.w. berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi s.a.w. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah S.W.T. di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi s.a.w. musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya (Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi s.a.w. (kufur)” (Jilid 11, ms.207).


Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi s.a.w. boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof. Dr. Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr. Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.


Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi s.a.w. yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah S.W.T. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah S.W.T. sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.


Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah s.a.w. Semoga Allah S.W.T. menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad s.a.w.           


 Oleh:
-Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki
(Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat, Yayasan Sofa Negeri Sembilan)
-dipetik akhienaim.blogspot

1 comment: